perak

perak

Sabtu, 28 Jun 2014

Sejarah batu kurau

Batu Kurau merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 Km dari Bandar Taiping. Batu kurau boleh dilawati dengan melalui Jalan Besar dari Kamunting ke Batu Kurau atau dari Selama melalui Jalan Redang Panjang atau Jalan Pondok Tanjung ke Batu Kurau.
Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping).
Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani seperti di bawah :
Ayun pak pek pak pong, Gulai asam pedas, Pakai baju tampung, Lenggang bagai duras, Duras buaya kampung, Hilir-hilir mudik, Mana kampung kita, Balik sana bukit!
Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.
Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986. Selain itu, antara orang terkenal ialah Ustaz Kazim Elias al-hafiz yang lebih dikenali dengan gelaran UKE dan ustaz youtube.

Asal usul nama Negeri Perak

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.
  • Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.
  • Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
  • Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
  • Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.
Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata perairan Nusantara ini.

Selamat Datang Yob & Yong

Selamat datang ke laman blog ini...Sapa2 yg berminat tentang negeri Perak kite ni bolehla jengok2 kat blog...blog ni menyediakan info2 tntang peradaban dan juga masyarakat di negeri Perak ni selain nk promosikan negeri kita di mata dunia......

Untuk info2 yg lebih lanjut sila like page ni...https://www.facebook.com/perakian2u