Batu Kurau merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang
terletak kira-kira 20 Km dari Bandar Taiping. Batu kurau boleh dilawati
dengan melalui Jalan Besar dari Kamunting ke Batu Kurau atau dari Selama
melalui Jalan Redang Panjang atau Jalan Pondok Tanjung ke Batu Kurau.
Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi,
apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin
Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun
1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau
adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada
tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut
(Taiping).
Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena
daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di
tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14).
Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung
Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung,
seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau,
daerah Kerian.
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu
keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah
Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang
strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang
bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki
bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah
pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai
untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis,
cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai
dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani
yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi
satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani
seperti di bawah :
Ayun pak pek pak pong, Gulai asam pedas, Pakai baju tampung, Lenggang
bagai duras, Duras buaya kampung, Hilir-hilir mudik, Mana kampung kita,
Balik sana bukit!
Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat
pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri
daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang
Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning,
Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di
Baling dan juga Sik.
Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti
Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar
Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain
itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali
sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau
Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik
sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986. Selain itu, antara
orang terkenal ialah Ustaz Kazim Elias al-hafiz yang lebih dikenali
dengan gelaran UKE dan ustaz youtube.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan